PortalHijau.Com - Tahap pencemaran air Sungai Jelai dan Sungai Tanum di daerah ini akibat hakisan dan air lumpur daripada kegiatan pemba...
PortalHijau.Com - Tahap pencemaran air Sungai Jelai dan Sungai Tanum di daerah ini
akibat hakisan dan air lumpur daripada kegiatan pembalakan dan
perlombongan semakin membimbangkan.
Adun Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, masalah itu juga
menjadi salah satu punca utama musibah banjir berlaku pada tahun lepas.
Beliau berkata, impak kejadian berkenaan menyebabkan seramai 100,000
orang penduduk daerah ini menggunakan air kotor dan berkeladak yang
boleh menjejaskan kesihatan serta komplikasi penyakit.
“Masalah hakisan di hulu sungai dan air lumpur menyebabkan air naik
secara mendadak atau banjir kilat di kawasan perkampungan pesisir sungai
yang sebelum ini tidak pernah mengalami banjir.
“Fenomena berkenaan juga mengganggu ekosistem, kawasan pertanian dan
tadahan air malahan akibat aliran lumpur serta keladak turut menyebabkan
beberapa buah loji di daerah ini terpaksa menutup operasi sebanyak 63
kali sejak Januari hingga September tahun ini,” katanya selepas lawatan
meninjau persediaan banjir di perkampungan pesisir Sungai Jelai, kawasan
Padang Tengku di sini.
Mustapa berkata, fenomena air lumpur telah menyusahkan penduduk
sehingga terputus bekalan air terawat berikutan penutupan loji berkenaan
dan sebagai alternatif mereka terpaksa mencari sumber air di kawasan
bukit.
Menurutnya, senario aliran sungai berlumpur akibat hakisan dan semakin
cetek juga membimbangkan dan tidak mustahil musibah banjir yang lebih
dahsyat berkemungkinan berlaku dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Saya berharap pemain dalam industri perlombongan dan pembalakan di
hulu sungai dapat mengurangkan kegiatan berkenaan dan mencari alternatif
lain bagi mengelakkan hakisan dan pelepasan air lumpur ke sungai ini.
“Pihak berkuasa perlu membuat perancangan untuk memindah lokasi kawasan
industri jauh daripada kawasan tadahan dan pesisir jika ternyata ia
berisiko tinggi mencemarkan sumber air,” katanya. Sinar Harian