Header Ads

Sungai Jelai dan Sungai Tanum Tercemar Air Lumpur Akibat Pembalakan Liar

loading...
PortalHijau.Com - Tahap pencemaran air Sungai Jelai dan Sungai Tanum di daerah ini akibat hakisan dan air lumpur daripada kegiatan pembalakan dan perlombongan semakin membimbangkan.

Adun Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, masalah itu juga menjadi salah satu punca utama musibah banjir berlaku pada tahun lepas.

Beliau berkata, impak kejadian berkenaan menyebabkan seramai 100,000 orang penduduk daerah ini menggunakan air kotor dan berkeladak yang boleh menjejaskan kesihatan serta komplikasi penyakit.

“Masalah hakisan di hulu sungai dan air lumpur menyebabkan air naik secara mendadak atau banjir kilat di kawasan perkampungan pesisir sungai yang sebelum ini tidak pernah mengalami banjir.

“Fenomena berkenaan juga mengganggu ekosistem, kawasan pertanian dan tadahan air malahan akibat aliran lumpur serta keladak turut menyebabkan beberapa buah loji di daerah ini terpaksa menutup operasi sebanyak 63 kali sejak Januari hingga September tahun ini,” katanya selepas lawatan meninjau persediaan banjir di perkampungan pesisir Sungai Jelai, kawasan Padang Tengku di sini.

Mustapa berkata, fenomena air lumpur telah menyusahkan penduduk sehingga terputus bekalan air terawat berikutan penutupan loji berkenaan dan sebagai alternatif mereka terpaksa mencari sumber air di kawasan bukit.

Menurutnya, senario aliran sungai berlumpur akibat hakisan dan semakin cetek juga membimbangkan dan tidak mustahil musibah banjir yang lebih dahsyat berkemungkinan berlaku dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Saya berharap pemain dalam industri perlombongan dan pembalakan di hulu sungai dapat mengurangkan kegiatan berkenaan dan mencari alternatif lain bagi mengelakkan hakisan dan pelepasan air lumpur ke sungai ini.

“Pihak berkuasa perlu membuat perancangan untuk memindah lokasi kawasan industri jauh daripada kawasan tadahan dan pesisir jika ternyata ia berisiko tinggi mencemarkan sumber air,” katanya. Sinar Harian
Diberdayakan oleh Blogger.